-->

Saturday, August 3, 2013

SARANA IBUBAPA

Pengenalan

Pelan Pembangunan Pendidikan telah dibangunkan bagi menilai prestasi semasa sistem pendidikan Malaysia dengan mengambil kira secara objektif pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Usaha yang telah dirangka dan akan dilaksanakan untuk mentransformasi sistem pendidikan negara diharap dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat keseluruhannya.
  

Aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia

Pelan pembangunan pendidikan ini berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaaan sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan (Ekshibit 7). Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang disuarakan oleh peserta Dialog Nasional Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan berprestasi tinggi juga menetapkan teras yang sama yang perlu dicapai. Tindakan bagi merealisasikan lima teras berkenaan adalah penting, dan tidak ada inisiatif dalam teras berkenaan yang boleh dilaksanakan secara berasingan, malah perlu disepadukan dan digerakkan secara bersama.
aspirasisistempendidikanmalaysia



Aspirasi Murid

Menjangkaui seluruh sistem pendidikan ini, pihak berkepentingan jelas mengenai konsep “kualiti” yang perlu ada pada setiap murid. Maka pendidik, ibu bapa, murid dan semua ahli masyarakat perlu bersatu dalam merealisasikan visi pendidikan sebagai wadah pembangunan murid yang holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Visi ini juga menjadi asas kepada semua usaha penambahbaikan sistem pendidikan sejak Falsafah Pendidikan Kebangsaan digubal pada tahun 1988.
ciriutamasetiapmurid
Add caption

Anjakan Utama Untuk Mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara

Anjakan 9 : Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas

Mengapakah perlu? : Kajian antarabangsa menunjukkan dengan jelas bahawa proses pembelajaran turut berlaku di luar sekolah, termasuk di rumah dan dalam masyarakat. Di Malaysia, kira-kira satu per empat daripada masa murid yang berumur antara tujuh hingga 17 tahun dihabiskan di sekolah. Oleh itu, keutamaan kini adalah melakukan anjakan daripada “pembelajaran sekolah” kepada “sistem pembelajaran” dengan melibatkan ibu bapa, masyarakat, sektor swasta dan sektor sosial sebagai rakan dalam membantu pembelajaran murid. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa sesetengah pelibatan yang demikian meninggalkan kesan yang signifikan. Sebagai contoh, kajian OECD tentang PISA menunjukkan bahawa sesetengah aktiviti antara ibu bapa dengan anak, seperti membaca pada setiap hari atau membincangkan kegiatan harian, dapat meningkatkan keberhasilan murid secara signifikan tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi. Kajian antarabangsa juga membuktikan bahawa sekolah yang melibatkan sektor perniagaan, organisasi awam dan institusi pengajian tinggi mendapat manfaat termasuklah gred yang lebih tinggi dan ketakhadiran murid yang rendah.
Apakah bentuk kejayaan? : Setiap ibu bapa akan menjadi rakan yang aktif dalam proses pembelajaran anak mereka, bukan sahaja melalui aktiviti yang lazim, seperti hari sukan dan hari penyerahan kad laporan, tetapi juga menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang menyediakan maklum balas tentang hal ehwal pengurusan berasaskan sekolah. Di samping itu, penggunaan sarana ibu bapa juga menyokong pembelajaran murid. Sekolah juga akan mempunyai rangkaian masyarakat dan sektor swasta sebagai rakan yang mampu memberikan sumbangan kepakaran kepada kemajuan sekolah. Penglibatan semua pihak berkepentingan ini akan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menegaskan pengajaran ilmu, kemahiran dan nilai kepada murid di sekolah.


Hasrat

Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Penglibatan anda mampu mengubah sistem pendidikan negara ke arah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan.